Berita Semasa

Kerajaan negeri sedia beri bantuan kebajikan kepada Faisal Halim

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor sedia memberi bantuan kepada pemain bola sepak Harimau Malaya, Faisal Halim dari segi kebajikan pada peringkat pemulihannya.

Komitmen tersebut disahkan Exco Belia Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi.

“Kita di pihak kerajaan negeri pun terbuka untuk membantu berdasarkan keperluan saudara Faisal.

“Cuma buat masa ini kita melihat untuk beliau mendapatkan rawatan yang penting, selepas selesai segalanya, mungkin pada peringkat pemulihan kita akan bantu juga,” kata Mohd Najwan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Taklimat Penggerak Belia Selangor yang diadakan di Ballroom Dewan Jubli Perak, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar Faisal kembali beraksi di atas padang susulan proses pemulihannya.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan kerajaan negeri bersedia membantu Faisal dalam menerima rawatan terbaik bagi memastikan pemain bintang itu pulih sepenuhnya.

Selain itu, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah akan menanggung kos rawatan dan perbelanjaan perubatan Faisal.

Dalam kejadian 5 Mei lalu, Faisal Halim dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Tonggak sayap kebangsaan itu juga sudah melalui tiga proses pembedahan termasuk prosedur graf kulit atau tampalan kulit untuk menutup luka lecur tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button