Berita Semasa

YADIM ucap takziah kepada keluarga 2 anggota Balai Polis Ulu Tiram yang terkorban

JOHOR BAHRU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menzahirkan kesedihan dan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota polis yang terkorban dalam serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, di sini, hari ini.

Pengarah YADIM Johor, Muhamad Ammar Abdullah berkata, tindakan melampau yang mensasarkan anggota keselamatan tidak sepatutnya berlaku di negara yang damai ini.

“Serangan yang turut mencederakan seorang lagi anggota polis itu merupakan tragedi yang amat malang bagi negara dan ia sekali gus memberikan gambaran buruk kepada imej negara,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, YADIM mendoakan agar roh kedua-dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Tambahnya, YADIM berharap semangat anggota-anggota PDRM sentiasa utuh dan tidak terjejas dengan peristiwa malang ini.

Dalam pada itu, orang ramai juga diseru untuk tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih dan sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa untuk maklumat yang sebenar.

“Dalam suasana negara yang masih berduka cita, YADIM turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi liar berhubung perkara ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk melaksanakan tindakan dan siasatan sewajarnya,” ujarnya lagi.

Katanya, YADIM juga mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang selama ini berkorban setiap masa menjaga keamanan negara.

Show More

Related Articles

Back to top button