Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Insiden Ulu Tiram : KPN tolak kemungkinan berlaku serangan susulan

JOHOR BAHRU – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada semua balai polis supaya meningkatkan kawalan dan pemantauan berhubung insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika menolak andaian bahawa serangan seumpama yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) itu akan berlaku di tempat lain di dalam negara.

Katanya, semua anggota termasuk di balai polis sudah diarahkan berhati-hati dan meningkatkan kawalan dan pemantauan susulan serangan bersenjata yang membunuh dua anggota polis di balai berkenaan.

“Kita sedang melakukan siasatan rapi mengenai kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram termasuk motifnya.

“Tapi not nice (tidak baik) untuk buat anggapan akan berlaku serangan lain, sedangkan siasatan sedang dilakukan,” katanya dalam sidang media di perkarangan Balai Polis Ulu Tiram, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

Sementara itu, Razarudin mendedahkan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian insiden itu berlaku selain persekitaran yang agak gelap.

Sehubungan itu, beliau akan meningkatkan fasiliti bagi meningkatkan pencahayaan di balai berkenaan.

“Bagaimanapun, kebajikan dan keperluan anggota kita akan uruskan dengan baik termasuk keluarga mangsa.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga dua anggota yang terkorban dalam serangan awal pagi tadi.

“Saya juga minta anggota yang lain supaya sentiasa berhati-hati dan tingkatkan tahap waspada sepanjang masa,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button