Berita Semasa

Faisal Halim perlu diberi masa pulih sepenuhnya

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mahu pemain bola sepak Harimau Malaya, Faisal Halim diberi masa secukupnya untuk pulih semula sebelum kembali beraksi di atas padang.

Saranan itu bertujuan memberikan ruang kepada Faisal untuk membuat persediaan lengkap dari segi mental dan psikologi sebelum kembali menyumbang tenaga kepada pasukannya.

“Keadaan dia (Faisal) jauh lebih baik berbanding selepas peristiwa itu berlaku, dari segi fizikal doktor memaklumkan bahawa proses pemulihan dia berlangsung dengan sangat cepat.

“Namun, kita kena melihat keseluruhan aspek termasuk psikologi dan sebagainya. Saya percaya Faisal wajar diberi masa yang secukupnya untuk pulih sepenuhnya,” katanya ketika melawat Faisal di sebuah hospital swasta, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan semua pihak agar terus memberikan motivasi kepada pemain berusia 26 tahun itu dalam memastikan dia kembali pulih.

“Dia masih dalam proses pemulihan dan itu sudah pasti satu peristiwa ngeri kepada perjalanan hidup dia. Saya percaya dia masih lagi trauma terhadap kesan daripada peristiwa itu,” ujarnya lagi.

Dalam kejadian 5 Mei lalu, Faisal Halim dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Show More

Related Articles

Back to top button