Bisnes & Ekonomi

Ekonomi Malaysia berkembang 4.2 peratus suku pertama 2024

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia pada suku pertama 2024 berkembang sebanyak 4.2 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku keempat 2023, didorong oleh pemulihan prestasi eksport dan permintaan domestik yang rancak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata, kadar pertumbuhan suku pertama tahun ini mengatasi unjuran konsensus Bloomberg sebanyak 3.9 peratus.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerajaan optimis Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kedudukan yang baik dan akan berkembang pada kadar unjuran rasmi antara 4 peratus hingga 5 peratus bagi tahun ini.

“Prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan pada S1 2024 membuktikan bahawa dasar Kerajaan yang berkesan serta pengurusan ekonomi yang baik telah memangkin pertumbuhan.

“Di sebalik kegalauan ekonomi dunia, prestasi ekonomi Malaysia kian mengukuh. Dalam tahun pertama pentadbiran, Kerajaan Madani telah memulakan reformasi dasar yang menyeluruh serta komited melaksanakan agenda reformasi bagi mentransformasi ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan juga bertekad untuk menjayakan pelaksanaan kerangka Ekonomi Madani.

“Peningkatan keyakinan terhadap pasaran modal domestik boleh dilihat melalui rekod paras baharu FBM KLCI mutakhir ini yang mencerminkan minat pelabur-pelabur dunia kembali tertumpu kepada naratif reformasi Malaysia,” katanya.

Dari sudut penawaran, semua sektor melonjak dan memangkin pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2024 dan Ini boleh dilihat melalui prestasi asas ekonomi yang menggalakkan.

“Pasaran buruh mengekalkan momentum positifnya dengan jumlah pekerja meningkat 2.1 peratus kepada 16.4 juta orang. Lebih daripada 50,000 pekerjaan baharu telah dicipta seterusnya menyumbang kepada kadar pengangguran yang rendah iaitu 3.3 peratus.

“Prestasi gaji dan upah kekal memberangsangkan dengan sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus dan pembuatan 1.2 peratus, manakala kadar inflasi kekal rendah pada 1.7 peratus, berbanding 1.6 peratus pada suku keempat 2023.

“Indeks Pengeluaran Perindustrian (Industrial Production Index; IPI) menokok 3.3 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding suku keempat 2023, disokong oleh momentum positif dalam semua subsektor yang dipacu oleh elektrik (8.9 peratus); perlombongan (5.9 peratus); dan pembuatan (2.1 peratus).

“Nilai kerja pembinaan mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 14.2 peratus berjumlah RM36.8 bilion pada suku pertama 2024 berbanding suku keempat 2023 (6.8 peratus; RM34.1 bilion).

“Kenaikan ini didorong oleh peningkatan dalam semua subsektor yang dipacu oleh kejuruteraan awam (24.7 peratus); aktiviti pembinaan khas (11.8 peratus); dan bangunan kediaman (11.5 peratus),” katanya.

Anwar berkata, dari perspektif sektor luaran, jumlah dagangan Malaysia berkembang sebanyak 7.1 peratus kepada RM690.6 bilion, didukung oleh peningkatan eksport kasar sebanyak 2.2 peratus kepada RM362.4 bilion dan import kasar sebanyak 13.1 peratus kepada RM328.2 bilion.

“Malaysia kekal mencatat lebihan dagangan yang berjumlah RM34.2 bilion pada suku peratama 2024.

“Akaun semasa dalam Imbangan Pembayaran mencatat lebihan sebanyak RM16.2 bilion atau 3.6% daripada Pendapatan Negara Kasar (S4 2023: 0.2%; RM0.9 bilion) yang disumbangkan oleh lebihan dalam akaun barangan serta ketibaan pelancong yang lebih tinggi.

“Pelaburan langsung asing (foreign direct investment; FDI) bersih adalah sebanyak RM5.5 bilion yang khususnya dari Hong Kong, Amerika Syarikat, Jerman, Kepulauan Cayman dan Bermuda. FDI ini disalur dalam sektor perlombongan dan kuari; sektor komunikasi dan maklumat serta aktiviti kewangan dan insurans atau takaful,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button