
USIM juara Debat Perpaduan, tewaskan UM
SHAH ALAM – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan sebagai juara Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara selepas menewaskan Universiti Malaya (UM) di peringkat akhir, hari ini.
Menteri Perpaduan, Aaron Ago Dagong berkata, program berkenaan merupakan platform penting dalam usaha Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang bertujuan memupuk, mengukuh, dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Pelaksanaan Debat Perpaduan adalah selaras dengan komitmen dan objektif DPN, yang bertujuan memupuk dan mengukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Melalui program ini, diharapkan kita dapat merealisasikan kerajaan untuk meningkatkan keutuhan dalam aspek kenegaraan dan perpaduan berteraskan penghayatan kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Debat Perpaduan Piala Menteri yang diadakan di Hotel Concorde, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa Inisiatif Jelajah Belia Rukun Negara akan digerakkan bermula bulan Julai hingga Disember 2024 di seluruh negara.
Inisiatif berkenaan akan melibatkan 1,200 peserta yang meliputi aktiviti seperti Bicara Rukun Negara: Menjiwai Rukun Negara, Pemekaan Rukun Negara serta Interaktif dan Inovasi Penghayatan Rukun Negara.
Sementara itu, program Debat Perpaduan mengangkat tema “Menjiwai Rukun Negara” yang bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan penghayatan terhadap nilai-nilai Rukun Negara dalam kalangan generasi muda.
Matlamat utama program itu termasuk membentuk pemikiran holistik mahasiswa, mempromosikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perpaduan, memperkuat semangat perpaduan melalui debat, dan meningkatkan pemahaman terhadap kepelbagaian etnik, agama, dan budaya
“Kementeriannya komited meningkatkan penghayatan Rukun Negara melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti Pelan Tindakan Pendidikan dan Penghayatan Rukun Negara, Syor Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan, Lafaz Ikrar Rukun Negara, Simposium Pendidikan Rukun Negara, serta Konvensyen Sekretariat Rukun Negara.
“la merupakan langkah yang penting dalam memastikan pemahaman dan penghayatan terhadap nilai-nilai perpaduan dalam kalangan rakyat,” ujarnya.
Majlis turut dijayakan melalui kerjasama beberapa rakan strategik iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semua institut pendidikan tinggi yang terlibat, semua Sekretariat Rukun Negara, Rakan Strategik Perpaduan dan Rakan Media Perpaduan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |