Jenayah & Mahkamah

Syarikat pemaju didenda RM60,000 rosakkan kemudahan rangkaian milik TM

CYBERJAYA – Sebuah syarikat pemaju dijatuhkan hukuman denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban kerana telah merosakkan kemudahan rangkaian milik Telekom Malaysia Berhad (TM).

Hakim, Diana Md Razali telah menjatuhkan hukuman itu ke atas syarikat Monarch Lodge Development Sdn Bhd selepas mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes
pendakwaan.

Syarikat Monarch Lodge Development Sdn Bhd didakwa atas kesalahan iaitu secara sengaja mengorek tanah dan telah merosakkan kemudahan rangkaian iaitu sesalur sembilan laluan dan enam laluan milik TM di Kilometer 8.2, Jalan Seremban-Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Syarikat tersebut dituduh di bawah Seksyen 235, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Hasil siasatan mendapati, kerosakan kepada kemudahan rangkaian TM itu berpunca daripada kerja-kerja pengorekan yang dilakukan oleh syarikat pemaju tersebut berkaitan projek pembangunan Bandar Pelancongan Kota Lukut di Port Dickson.

Akibat kerosakan kepada kemudahan rangkaian TM tersebut, ia telah menjejaskan perkhidmatan kepada
pelanggan-pelanggan TM di sekitar kawasan itu.

Dalam pada itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius berkenaan perkara ini.

MCMC turut mengingatkan setiap syarikat pemaju yang menjalankan kerja pembinaan untuk menitikberatkan langkah-langkah keselamatan seperti mana yang terkandung di bawah Garis Panduan Pengalihan dan Pemasangan Semula Utiliti Dalam Pelaksanaan Program dan Projek Kerajaan.

“Garis panduan ini bertujuan untuk memberi penjelasan berhubung skop pematuhan, kaedah pembiayaan, kaedah pelaksanaan dan pemakaian prosedur kerja terkini bagi kerja-kerja pengalihan dan pemasangan semula utiliti di semua tapak projek di dalam rizab persekutuan dan negeri yang terlibat.

“Selain itu, ia juga menjamin perlindungan ke atas kemudahan utiliti awam terutamanya kemudahan rangkaian,” katanya.

Sementara itu, MCMC juga menyarankan agar pihak kontraktor mahupun syarikat pemaju menggunakan medium ‘Call Before You Dig (CBYD)’ bagi tujuan kerja-kerja pembinaan yang hendak dijalankan apabila melibatkan kemudahan rangkaian.

Katanya, melalui initiatif ini, kadar kemungkinan kerosakan ke atas kemudahan rangkaian dan gangguan perkhidmatan dapat dikurangkan kepada tahap yang lebih minimum.

Show More

Related Articles

Back to top button