Berita Semasa

Terus langgar peraturan Arab Saudi, Malaysia berisiko hilang keistimewaan

MAKKAH – Malaysia berisiko kehilangan keistimewaan sekiranya undang-undang dan peraturan Arab Saudi terus dilanggar termasuk menyalahgunakan visa pelancong untuk menunaikan ibadah haji.

Ketua Rombangan Haji Malaysia 1445H/2024, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata, sekiranya ditangkap kerana melakukan perbuatan itu (menyalahgunakan visa pelancongan), ia akan mencemarkan nama baik dan imej Malaysia yang selama ini dipandang tinggi oleh negara berkenaan.

“Kita nasihatkan mereka untuk tidak melanggar peraturan Arab Saudi serta peraturan Malaysia kerana apabila ditangkap ia akan menyebabkan nama dan imej negara kita terjejas.

“Kita perlu memahami bahawa Malaysia selalunya diberi keutamaan, diberi kemudahan dan keistimewaan oleh Arab Saudi dalam pelbagai situasi termasuk dari segi visa pelancongan, visa visa umrah dan visa haji,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH, di sini malam tadi.

Tambahnya, antara keistimewaan lain yang diterima Malaysia adalah penggunaan visa pelancong untuk menunaikan umrah dan ia hanya diberikan kepada tiga negara Islam termasuk Indonesia dan Kazakhstan sedangkan visa itu adalah kemudahan kepada negara bukan Islam bagi tujuan pelancongan.

“Saya ingin menasihatkan bagi mereka yang mempunyai hasrat untuk menggunakan visa selain visa haji dan tinggal lama untuk laksanakan ibadah haji, jangan melakukan perkara ini. Pertama ia telah melanggar akta dan peraturan Lembaga Tabung Haji (TH) kerana mereka datang dengan syarikat yang tidak dilesenkan oleh TH.

“Kedua mereka juga melanggar peraturan Arab Saudi dan kerajaan Arab Saudi juga telah mengeluarkan pendirian dari segi hukum bahawa perbuatan menggunakan visa selain visa haji untuk melaksanakan haji merupakan satu perkara yang tidak dibenarkan oleh agama kita,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihati rakyat Malaysia yang mempunyai visa selain visa haji supaya meninggalkan Tanah Suci selewat-lewatnya pada 29 Zulkaedah dan segera kembali ke tanah air untuk mengelakkan daripada ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang lebih berat.

Show More

Related Articles

Back to top button