Berita Semasa

Selangor rekod kes jenayah seksual tertinggi

SHAH ALAM – Selangor mencatatkan kes jenayah seksual tertinggi dalam tempoh tiga tahun ini.

Antara kes yang direkodkan termasuk cabul, sumbang mahram, luar tabii, pornografi kanak-kanak dan komunikasi secara seksual.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, angka yang tinggi tersebut  dicatatkan berdasarkan faktor populasi penduduknya yang tinggi berbanding negeri lain.

“(Di samping itu) Kedudukan Selangor yang bersempadan dengan beberapa negeri misalnya Perak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Pahang menjadi salah satu penyumbang kepada jenayah ini diikuti Johor.

“Capaian sistem jaringan internet yang mudah selain banyak kemudahan dari segi fasiliti dan kepadatan penduduk selain faktor ekonomi mendorong kepada peningkatan angka jenayah seksual ini,” katanya.

Siti Kamsiah berkata demikian selepas sesi dialog bersama masyarakat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan kes yang direkodkan melibatkan warga tempatan iaitu sebanyak 90 peratus.

Tambahnya, kebanyakan kes melibatkan jenayah seksual ini adalah dalam kalangan mereka yang dikenali.

“Sesiapa sahaja berpotensi menjadi pemangsa, kebanyakan pelaku dikenali mangsa sama ada ahli keluarga, rakan-rakan dan orang yang diberikan amanah seperti guru.

“Bagaimanapun penjenayah seksual sukar diketahui menerusi rupa paras atau perwatakannya serta mudah menarik kepercayaan mangsa,” katanya.

Dari segi taraf hidup, golongan B40 direkodkan sebagai antara tertinggi yang terlibat dalam jenayah seksual ini berdasarkan statistik yang direkodkan dalam tempoh berkenaan.

“Kita lihat secara keseluruhan disebabkan keadaan ekonomi golongan ini yang tidak stabil selain faktor tidak bekerja dan kurangnya pendidikan.

“Aspek ekonomi ini membawa kepada masalah tekanan perasaan dan memberi kesan dalam hubungan emosi dan kurangnya didikan dalam konteks keibubapaan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button