Jenayah & Mahkamah

Pemandu mabuk langgar atlet kayak negara miliki 7 saman trafik tertunggak, dibebaskan dengan jaminan

JOHOR BAHRU – Pemandu mabuk yang melanggar atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Elias sehingga cedera parah di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey, di sini Sabtu lalu turut memiliki tujuh saman trafik tertunggak.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian pukul 4.30 petang itu mangsa yang menunggang sebuah motosikal ketika itu dirempuh daripada arah belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna merah yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an.

“Kenderaan tersebut dikatakan telah menukar lorong dari laluan tengah ke laluan kiri secara tiba-tiba menyebabkan kemalangan berlaku sehingga mangsa retak bahu kanan dan tulang pinggul, selain beberapa luka di bahagian kaki.

“Manakala pemandu yang disahkan mabuk selepas ujian pernafasan dibuat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Raub berkata, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri.

“Pemandu telah ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan dengan jaminan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta saksi kejadian untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 014-6977122.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button