
Isu tahanan di rumah Najib Razak dibincang selepas PM pulang dari luar negara
PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak menolak kemungkinan isu tahanan di rumah Datuk Seri Najib Razak akan dibincang Jemaah Menteri selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang dari lawatan rasminya.
Beliau berkata, isu terbabit tidak disentuh langsung pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
“Tidak ada bincang, mungkin masa Perdana Menteri kembali ke tanah air minggu depan.
“Tetapi saya percaya apa yang dikatakan mengikut proses dan pandangan Perdana Menteri bahawa pertimbangan selepas kes 1MDB, itu yang beliau sebut,” katanya pada sidang media hari ini.
Pada 1 April Najib Razak, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Susulan itu, Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO memfailkan afidavit selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.
Titah Adendum berkenaan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |