Berita Semasa

Carum pekerja sebelum 31 Mei atau berdepan pendakwaan – Perkeso

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana majikan yang masih culas dalam mencarum pekerja mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata, majikan diberi tempoh hingga 31 Mei ini untuk melakukan pendaftaran secara sukarela.

Menurut beliau, tempoh diberikan sempena Bulan Pemutihan kali ke-15 sebelum pihaknya mengambil tindakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).

“Sekiranya majikan tidak mendaftar dalam tempoh pemutihan, Perkeso tidak akan berkompromi atau memberi lagi pengecualian dan tindakan penguatkuasaan akan dipertimbangkan kepada majikan menerusi Ops Kesan 2024 yang akan dilaksanakan pada bulan depan,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Bulan Pemutihan Perkeso di Menara Perkeso, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohammed Azman berkata, pendaftaran caruman itu boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal ASSIST atau hadir ke mana-mana 54 pejabat Perkeso di seluruh negara atau menghubungi Careline Perkeso di 1-300-22-8000.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ops Kesan Ke-15 bertujuan memastikan majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja mendaftarkan perusahaan dan pekerjanya termasuk mereka yang mempunyai pembantu rumah warga tempatan atau asing.

“Kegagalan majikan mendaftarkan perusahaan dan pekerja satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan pengkompaunan dan pendakwaan, yang mana jumlah kompaun yang dikenakan boleh mencecah RM5,000 mengikut kesalahan.

“Selain itu, majikan juga akan dikenakan FCLB pada kadar enam peratus setahun di atas setiap hari caruman lewat dibayar disebabkan kegagalan mendaftar dan membayar caruman Perkeso.

“Seterusnya, majikan boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua- duanya sekali,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button