Berita Semasa

Monsun Barat Daya dijangka bawa cuaca yang lebih kering – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Negara dijangka menerima hujan pada paras purata di kebanyakan tempat dan sedikit atas purata di Sarawak dan barat Sabah dalam tempoh Monsun Barat Daya yang bermula Mei sehingga September 2024.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi (MET Malaysia), hari ini.

“Selain itu, MET Malaysia juga meramalkan peralihan kepada El Niño and the Southern Oscillation (ENSO) neutral dijangka berlaku pada pertengahan 2024 manakala La Nina dijangka mula terbentuk pada suku ketiga 2024.

“Buat masa ini negara sedang berada di fasa peralihan monsun yang dijangka sehingga Mei 2024 manakala kedaan cuaca panas terutama di utara Semenanjung telah mula reda,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyatan, sebentar tadi.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 1 bagi tahun 2024, di sini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN); dan Agensi-agensi Teknikal serta Agensi-agensi Tindak Balas.

Tambahnya, Monsun Barat Daya dijangka akan membawa cuaca yang lebih kering dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan.

“Ini akan menyebabkan pelbagai impak negatif meliputi kesan kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan/belukar, jerebu, dan sekiranya berpanjangan, kekurangan hasil pertanian,” katanya lagi.

Sehubungan itu, mesyuarat pada hari ini turut mengambil maklum Sistem Pangkalan Data Hidrogeologi myGEMS milik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta ketersediaan sumber air bawah tanah yang boleh diguna pakai sebagai sumber air alternatif termasuk untuk pemadaman kebakaran di kawasan tanah gambut.

Buat masa ini, terdapat 640 buah telaga aktif untuk kegunaan domestik dan 104 buah telaga di kawasan gambut dan hutan dengan kapasiti 176.13 juta liter sehari (MLD).

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JPBN) diminta untuk mengambil langkah yang sewajarnya untuk bersama-sama menghadapi situasi ini dengan meminta pengendali air untuk meningkatkan kecekapan operasi serta menyediakan sokongan logistik untuk memobilisasi bekalan air ke kawasan terjejas (sekiranya ada).

“Bagi operasi untuk memadam sebarang kebakaran, agensi-agensi tindak balas pula berada pada tahap siapsiaga dengan persediaan logistik sewajarnya untuk menghadapi kebakaran terbuka,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button