Berita Semasa

Kerajaan kekal sasaran 10,000 stesen pengecas kenderaan EV

KUALA LUMPUR – Kerajaan meningkatkan sasaran pemasangan stesen pengecas pantas arus terus (DC) daripada 1,000 buah kepada 1,500 buah susulan sambutan tinggi rakyat terhadap kenderaan elektrik (EV).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, setakat Mac 2024 sebanyak 268 buah stesen pengecas telah beroperasi menjadikan jumlah Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB) kini berjumlah 2,288 unit.

Bagaimanapun katanya, kementerian itu masih mengekalkan sasaran 10,000 stesen pengecas baharu di seluruh negara.

“Pasaran EV di dalam negara terus mencatatkan perkembangan yang pesat bagi tiga bulan pertama tahun ini, yang mana hampir 11,000 unit kenderaan elektrik bateri (BEV) dan hibrid telah dijual sehingga Mac 2024,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) yang dipengerusikan Datuk Seri Fadillah Yusof itu turut membincangkan konsep Pasport Bateri EV.

Katanya, semua bateri EV perlu mempunyai sistem pengenalan agar dapat memastikan semua bateri yang telah tamat hayatnya boleh dikesan dan dikitar semula selaras dengan konsep ekonomi kitaran.

“Kenderaan EV juga perlu menjadi sebahagian daripada ekonomi kitaran. Masih banyak lagi inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi menambah baik ekosistem EV sedia ada.

“Insya-Allah, kita akan bersama-sama menggerakkan pembangunan industri dan ekosistem EV negara secara progresif,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button