Berita Semasa

116 RT di seluruh negara dikenal pasti untuk dijadikan Model RT Progresif

BANTING – Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang melancarkan Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga (RT) sebagai Penggerak Komuniti Progresif, di sini hari ini.

Beliau berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh kementerian itu bertujuan untuk meningkatkan peranan RT dalam pembangunan komuniti.

Menurutnya lagi, melalui peruntukan RM20 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, kerajaan berharap agar RT menjadi pendorong utama dalam menjayakan program komuniti, kesukarelawanan dan kenegaraan di peringkat akar umbi.

“Sekurang-kurangnya 116 buah RT di seluruh negara telah pun dikenal pasti untuk dijadikan Model RT Progresif.

“RT Progresif ini dijangkakan akan memacu kecemerlangan dalam khidmat komuniti dan kerja kemasyarakatan melalui lapan bidang tumpuan yang merangkumi Ekonomi dan Sara Hidup; Keselamatan dan Ketahanan Komuniti; Kepimpinan; Kesejahteraan Komuniti; Pembelajaran Sepanjang Hayat; Alam Sekitar; Warisan dan Budaya; serta Daya Cipta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu ucapan pada Majlis Peluncuran Inisiatif Pemerkasaan RT Sebagai Penggerak Komuniti Progresif yang diadakan di Dewan Sri Jugra, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM11,073,309 yang difokuskan kepada bidang Ekonomi dan Sara Hidup serta Keselamatan dan Ketahanan Komuniti bagi memperkasakan agenda ekonomi komuniti RT.

Katanya, pelaksanaan itu juga dilihat berupaya meningkatkan produktiviti RT melalui peningkatan pendapatan isi rumah dan membantu menangani kos sara hidup yang meningkat.

“Sebanyak RM992,590 diperuntukkan untuk meningkatkan keselamatan dan ketahanan komuniti.

“Ia termasuk penggantian fasiliti keselamatan Skim Rondaan Sukarela (SRS) untuk 106 kawasan RT serta pembekalan tiga set walkie talkie untuk 101 kawasan RT bagi kegunaan penyaluran maklumat keselamatan semasa rondaan SRS,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, peruntukan sebanyak RM1,945,620 juga diberi bagi pembekalan 58 kabin SRS baru dan pembaikan sedia ada di 12 SRS dengan harapan dapat meningkatkan aktiviti rondaan SRS serta keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Selain itu, program pembangunan dan latihan turut direncanakan bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan ahli RT dengan peruntukan RM2,612,800.

Ia meliputi kursus-kursus seperti teknologi pertanian, pembangunan produk makanan, dan latihan keusahawanan.

Sementara itu, sejumlah RM4 juta pula diperuntukkan untuk Program RT Progresif dalam lima bidang lain.

Ke hadapan, beliau menzahirkan harapan untuk melihat kejayaan sepenuhnya RT Progresif yang akan melaksanakan program-program berorientasikan komuniti berteraskan lapan bidang tumpuan berkenaan dalam skala dan capaian yang lebih meluas.

Kini, terdapat sejumlah 8,438 RT di seluruh Malaysia dengan penambahan 93 RT pada tahun 2023 sahaja.

Sebanyak 292 RT daripadanya telah melaksanakan aktiviti ekonomi yang merangkumi projek pertanian (kebuniti), penghasilan produk makanan, minuman, kesihatan, kraftangan, perkhidmatan katering, dan Community Based Tourism (CBT).

Show More

Related Articles

Back to top button