Jenayah & Mahkamah

Tidak miliki permit kerja yang sah, sebuah bot nelayan ditahan

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan di perairan Kuala Pahang selepas disyaki tidak mempunyai permit kerja yang sah pada petang kelmarin.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot nelayan itu dikesan sedang bersauh ketika bot ronda maritim sedang menjalankan rondaan rutin Op Makmur dan Op Tiris.

“Hasil pemeriksaan, bot nelayan itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar dalam lingkungan umur di antara 21 hingga 45 tahun.

“Ketika penggeledahan pula terdapat lebih kurang 1.1 tan hasil laut ditemukan di atas bot,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, kesemua kru bot bersama hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan dan Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

Show More

Related Articles

Back to top button