Politik

Status enam MP BERSATU masih kekal

YDP Dewan Rakyat sahkan belum terima sebarang notis

KUALA LUMPUR – Status enam ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang menyokong Perdana Menteri masih lagi kekal kerana Dewan Rakyat masih belum menerima sebarang notis berhubung kedudukan mereka.

Kedudukan mereka disahkan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, hari ini.

“Apa pun tiada siapa pun; tak call, siapa pun tak tulis surat pun. Tak datang satu emel pun tiada, so saya anggap tiada apa-apa berlaku selagi benda tu tak datang ke meja saya.”

“Ya masih on, masih lagi MP tiada apa-apa yang berlaku,” katanya hari ini.

Johari berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Legislative Council of The Hong Kong Special Administrative Region di pejabatnya, pagi tadi.

Pada 28 April lalu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti itu akan mengeluarkan notis berhubung status kedudukan enam ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Notis itu akan dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu yang sepatutnya diadakan dalam masa terdekat tetapi ditangguhkan kerana PRK Kuala Kubu Bharu.

Enam ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 2 April lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dilaporkan telah meluluskan permohonan pindaan perlembagaan BERSATU yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Show More

Related Articles

Back to top button