Penerima buah pinggang babi pertama meninggal dunia
NEW ENGLAND – Richard Rick Slayman, penerima pertama buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik meninggal dunia kira-kira dua bulan selepas pembedahan dilakukan oleh Hospital Massachusetts (HM), Amerika Syarikat.
Hospital berkenaan dalam kenyataannya berkata, Slayman yang berumur 62 tahun menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir sebelum menjalani pemindahan organ mamalia berkenaan pada bulan Mac lalu.
“Tidak ada petunjuk bahawa kematian beliau disebabkan oleh pemindahan organ itu.
“Pemindahan organ lain dari babi yang diubahsuai secara genetik telah gagal pada masa lalu, tetapi pembedahan ke atas Rick dianggap sebagai detik bersejarah,” kata hospital berkenaan seperti dilaporkan oleh BBC News.
HM berkata, selain penyakit buah pinggang, Slayman juga mengidap diabetes tahap dua dan darah tinggi.
Pada tahun 2018, beliau telah menjalani pemindahan buah pinggang manusia, tetapi organ berkenaan mula gagal berfungsi selepas lima tahun.
“Selepas transplantasi buah pinggang babi pada 16 Mac lalu, doktor-doktor beliau mengesahkan beliau tidak lagi memerlukan dialisis setelah organ baru itu dikatakan berfungsi dengan baik.
“Slayman akan selamanya dilihat sebagai mercu tanda harapan kepada berjuta-juta pesakit di seluruh dunia dan kami sangat berterima kasih atas kepercayaan dan kesanggupannya untuk memajukan bidang xenotransplantasi,” katanya.
Xenotransplantasi adalah pindah silang sel hidup, tisu atau organ dari satu spesies ke spesies yang lain.
HM memaklumkan bahawa pihaknya sangat sedih dengan kematian mengejut itu dan mengucapkan takziah kepada keluarganya.
Slayman merupakan penerima buah pinggang babi pertama yang diimplan kepada manusia namun bukanlah organ babi pertama yang digunakan dalam prosedur pemindahan organ.
Dua lagi pesakit telah menerima pemindahan organ jantung babi, tetapi prosedur itu gagal kerana penerima meninggal dunia beberapa minggu kemudian.
Dalam kes yang lain, wujud tanda penolakan pada sistem imun pesakit terhadap organ yang merupakan risiko biasa dalam pemindahan organ.