Kerajaan lulus pemberian vaksin kombinasi Tetanus-Difteria-Pertussis untuk ibu mengandung
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan pemberian vaksin kombinasi Tetanus-Difteria-Pertussis (DTAP) kepada ibu hamil bermula hujung tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, berkata vaksin terbabit penting bagi melindungi bayi yang baru lahir daripada jangkitan penyakit Pertussis.
“Kerajaan turut meluluskan pelaksanaan kombinasi tetanus- difteria-pertussis kepada ibu mengandung.
“Ini dijangka bermula pada hujung tahun 2024, untuk melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan penyakit Pertussis atau batuk kokol,” katanya disini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Imunisasi Kebangsaan dan Sidang Kemuncak Imunisasi Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.
Dzulkefly berkata, vaksin terbabit akan diberikan secara percuma kerana ia termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).
Selain DTAP, beliau berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan bagi memasukkan vaksin influenza ke dalam program NIP khusus untuk golongan warga emas.
“Kita sedang pertimbang vaksin influenza masuk dalam NIP, masih dalam pertimbangan kerana kita tahu warga emas terdedah kepada risiko jangkitan.
“Saya harap mungkin untuk tahun depan, dalam Bajet 2025 atau seterusnya, kita akan mohon untuk dimasukkan dalam NIP, khas untuk golongan warga emas,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai DTAP, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4life, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata vaksin sesuai diberikan kepada ibu hamil yang kandungannya berusia 27 hingga 32 minggu.
Jelasnya, vaksin terbabit akan diberikan satu dos untuk setiap kandungan.
“Jika ibu itu mengandung setiap tahun, setiap tahun dia akan diberi vaksin terbabit,” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune