Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Imigresen tumpas sindiket ubah biodata pasport 

PUTRAJAYA – Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen selepas menahan dua warganegara asing semasa Operasi Khas di sebuah premis kediaman di Kajang, Selangor, Jumaat lalu.

Operasi melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu dijalankan selepas menerima aduan dan menjalankan risikan selama tiga minggu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, suspek dipercayai terlibat dengan sindiket menawarkan perkhidmatan menyediakan pasport kepada warganegara asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan.

“Sindiket yang dipercayai telah beroperasi selama dua tahun ini menggunakan pasport tulen yang telah tamat tempoh dengan meminda maklumat pada biodata serta keseluruhan dalaman pasport dengan harga RM1,000 hingga RM1,500 untuk senaskah pasport.

“Sindiket ini juga menggunakan maklumat palsu pada pasport tersebut untuk mendapatkan kelulusan Fomema dengan harga RM600 hingga RM1,000 bagi setiap dokumen,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Dalam pada itu, pasukan operasi berjaya merampas satu set komputer dan 211 pasport yang terdiri daripada pelbagai negara termasuk Bangladesh, India, Filipina, Myanmar, Indonesia.

Selain itu, sejumlah 31 helaian muka depan biodata pasport, 144 keping dokumen Fomema, pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu dan wang tunai sebanyak RM16,000.00 turut dirampas.

Menurut Ruslin, seorang lelaki warganegara Bangladesh dikenal pasti sebagai Ofu Bhai berusia 38 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket tersebut ditahan.

Turut ditahan seorang perempuan warganegara Filipina berusia lingkungan 40 tahun yang dipercayai orang kanan kepada dalang utama.

Hasil semakan awal mendapati lelaki warganegara Bangladesh tersebut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini manakala perempuan warganegara Filipina telah tinggal lebih masa.

Pada masa ini, kedua-dua suspek ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk disiasat di bawah Seksyen 55D, Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966.

“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button