Berita Semasa

Pengeluaran dari Akaun 3 dihadkan RM250 sehari

KUALA LUMPUR – Had maksimum pengeluaran wang daripada Akaun Fleksibel secara terus sebanyak RM250 sehari telah ditetapkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

KWSP berkata, menerusi aplikasi i-Akaun, pencarum hanya boleh membuat pindahan wang ke akaun bank sekali sehari dengan minimum RM50.

“Ahli yang ingin mengeluarkan wang lebih RM250 perlu melalui proses ‘electronic know-know-your-customer’ (e-KYC) secara dalam talian atau mengunjungi pejabat KWSP terdekat bagi pengesahan cap jari,” katanya seperti yang dilaporkan BH online hari ini.

Proses e-KYC adalah satu proses pengesahan identiti secara elektronik melalui teknologi pengecaman wajah di aplikasi KWSP i-Akaun.

KWSP telah mengumumkan inisiatif penstrukturan semula semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

“Akaun persaraan, sebanyak 75 peratus daripada jumlah caruman bulanan sebagai simpanan pendapatan semasa persaraan, akaun sejahtera (15 peratus) bagi menangani keperluan kitaran hayat kesejahteraan semasa persaraan serta akaun fleksibel sebagai akaun baharu untuk keperluan kewangan jangka pendek.

“Simpanan dalam akaun fleksibel 10 peratus daripada caruman setiap bulan, boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button