Berita Semasa

Lelaki dakwa lewat diberi rawatan, HSA perjelas keadaan

JOHOR BAHRU – Hospital Sultanah Aminah (HSA) sudah menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan seorang lelaki lewat diberikan rawatan selepas digigit anjing.

Pengarahnya, Dr Sal Atan berkata, siasatan mendapati terdapat 78 pesakit sedang menunggu untuk menerima rawatan di Zon Hijau pada masa yang sama lelaki itu sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, bilangan pesakit yang menunggu terlalu ramai menyebabkan kelewatan dalam memberikan rawatan kepadanya lelaki berkenaan.

“Siasatan menyeluruh telah dilakukan mengenai video yang tular menerusi akaun Tiktok dan Facebook berhubung dakwaan seorang pesakit yang tidak berpuas hati mengenai layanan dan perkhidmatan yang diterima di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, lelaki berusia 33 tahun itu telah mendaftar di Kaunter Triage Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA pada pukul 5.45 petang Rabu lalu untuk mendapatkan rawatan luka akibat gigitan anjing pada paha kanannya.

“Hasil siasatan mendapati pesakit berkenaan hadir dengan surat rujukan selepas menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan. Berdasarkan saringan awal, pesakit dikategorikan sebagai kes kecemasan bukan kritikal atau kes Zon Hijau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf di aras kelewatan lelaki tersebut menerima rawatan.

“Pihak hospital sentiasa komited dalam memastikan setiap pesakit yang datang diberikan rawatan dan layanan sebaiknya tanpa sebarang prejudis. Sebarang kesulitan yang dialami pelanggan sewaktu berurusan di HSA amat dikesali,” katanya.

Sebelum ini, seorang lelaki meluahkan rasa tidak puas hati dengan layanan diterimanya di HSA sambil menunjukkan luka pada kaki kanannya dalam sebuah video berdurasi dua minit 10 saat.

Show More

Related Articles

Back to top button