Jenayah & Mahkamah

Suspek kedua simbah asid ke arah Faisal Halim dibebaskan

KUALA LUMPUR – Suspek kedua yang ditahan pada 6 Mei lalu berkaitan kes simbah asid ke atas pemain bola sepak Harimau Malaya, Faisal Halim, dibebaskan hari ini.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), suspek dibebaskan dengan jamin polis sejurus selesai proses soal siasat ke atasnya.

Bagaimanapun, suspek boleh dipanggil pada bila-bila masa sekiranya diperlukan pihak polis dalam membantu siasatan kes berkenaan.

“Tiada sebarang pengakuan daripada suspek dan siasatan masih dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan suspek lain serta mendapatkan keterangan lanjut dalam kes ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan suspek kedua berusia lewat 30-an itu direman lima hari setelah diberkas di Bandar Baru Bangi bagi membantu siasatan polis pada Isnin lalu.

Semakan polis mendapati suspek itu mempunyai tujuh rekod lampau antaranya mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (sengaja menyebabkan kecederaan), Seksyen 395 (rompak berkumpulan), Seksyen 507 (ugutan), Seksyen 384 Kanun Keseksaan (pemerasan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

Sebelum itu, polis menahan suspek pertama yang merupakan seorang lelaki berusia 20-an pada Ahad lalu di Pandan Indah, Ampang.

Suspek pertama itu kemudiannya dibebaskan selepas direman dua hari kerana siasatan mendapati dia tiada kaitan dengan kes itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis kini sedang dalam proses menghasilkan lakaran fotofit suspek mulai hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button