Jenayah & Mahkamah

Polis lakar wajah suspek simbah asid ke arah Faisal Halim

KUALA LUMPUR – Pihak polis sedang dalam proses menghasilkan fotofit atau lakaran wajah suspek yang disyaki terbabit dalam kes simbah asid pemain bola kebangsaan, Faisal Halim baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses berkenaan akan dimulakan hari ini sebagai salah satu usaha menjejak suspek selain mengesan cap jari ditinggalkannya.

“Hari ini kita akan buat fotofit, daripada situ nanti mungkin kita juga mengumpulkan maklumat.

“Mungkin sudah ada maklumat yang kita kumpulkan dengan fotofit dan juga menerusi kesan cap jari yang akan diambil untuk kita kaji,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Autisme di Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.

Menurut Razarudin, setakat ini lebih 12 saksi sudah selesai dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung kes itu termasuk mangsa sendiri.

Jelas beliau, saksi termasuk keluarga, ipar mangsa, pengawal keselamatan di lokasi kejadian dan saksi berkepentingan.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya mengambil serius dalam menjalankan siasatan kes berkenaan walaupun mungkin mengambil masa.

“Kita akan teruskan siasatan kita macam kita menyiasat kes Zayn Rayyan, walaupun mungkin ambil masa panjang dan lama, kita akan buat (siasatan), Insya-Allah.

“Atas risikan dan siasatan, barulah kita mengambil tindakan menangkap ke atas suspek yang kita kenal pasti.

Kita pun perlu ada bukti. Kita tak boleh tangkap orang sesuka hati,” ujarnya lagi.

Dalam kejadian 5 Mei lalu, Faisal Halim dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Show More

Related Articles

Back to top button