Berita Semasa

Peniaga warga asing jual ikan, sayur, bahan basah di tepi jalan disita

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap peniaga tanpa lesen warga asing di sekitar Jalan Hang Jebat, di sini pada petang kemarin.

Menurut DBKL, tindakan tersebut dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKL sehari selepas menerima maklumat awam yang tular di media sosial (Aplikasi X) mengenai aktiviti perniagaan oleh warga asing.

“Pada petang Jumaat, pasukan pegawai dan anggota penguatkuasa DBKL melakukan siasatan di lokasi tersebut dan menemui tiga aktiviti perniagaan yang dilakukan oleh peniaga telur ayam (warga negara asing) dan dua peniaga sayuran, buah-buahan, ikan dan barangan am daripada warga tempatan tanpa lesen,” katanya dalam laman media sosial DBKL hari ini.

Katanya, DBKL segera mengambil tindakan dengan menyita dan memindahkan barangan perniagaan serta mengeluarkan dua notis kompaun di bawah kesalahan UUK 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

“Barangan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras,” katanya lagi.

Sehubungan itu, pihak DBKL akan terus memantau dan mengambil tindakan sewajarnya dari semasa ke semasa terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

Bagi sebarang maklumat atau aduan, orang ramai boleh melaporkan di laman sesawang Adu@KL di pautan adukl.dbkl.gov.my.

Show More

Related Articles

Back to top button