Berita Semasa

KPT bakal lancar Pelan AI dalam tempoh 3 bulan ini

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang bersiap sedia untuk melancarkan Pelan Pembangunan Kecerdasan Buatan (AI) dalam tempoh tiga bulan akan datang bagi merealisasikan matlamat Malaysia Madani di masa hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pelan tersebut adalah penting bagi memajukan bidang AI di Malaysia.

“Program perbincangan dan polimik yang positif kepada AI akan diteruskan di kalangan komuniti pendidikan tinggi, termasuk melalui bicara-bicara ilmiah di universiti serta laman media sosial dan televisyen,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penutup Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI NEXUS 2024) di sini, hari ini.

Katanya, ia merupakan usaha yang disusun dengan teliti untuk menggalakkan pemahaman dan penerimaan terhadap teknologi berpotensi itu.

Beliau menegaskan KPT akan menggerakkan Konsortium AI Malaysia untuk memastikan usaha tersebut berjalan dengan jayanya.

Susulan itu, beliau telah berbincang dengan timbalan menteri dan  Ketua Setiausaha KPT bagi memastikan konsortium tersebut bergerak dengan lancar.

Katanya, sebagai sebahagian daripada usaha pembudayaan minda, KPT juga akan menganjurkan ‘Festival of Ideas’ yang bakal berjalan dalam tempoh lebih seminggu.

“Festival ini direncanakan dengan teliti oleh pihak KPT dan akan melibatkan pemain industri, profesor, pensyarah, serta pemikir dari seluruh negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ‘Festival of Ideas’ tersebut dijangka akan diadakan di Putrajaya atau Kuala Lumpur bagi menjadi platform perbincangan idea-idea baharu daripada institusi dan universiti tempatan.

Show More

Related Articles

Back to top button