Berita SemasaPM X

IPT bakal terima kemudahan akses maklumat, kajian agensi dan kementerian dalam masa dua minggu

KUALA LUMPUR – Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bakal mendapat kemudahan akses kepada maklumat serta kajian sedia ada di peringkat kementerian dan agensi kerajaan dalam tempoh dua minggu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini merupakan usaha memperkasa kecerdasan buatan (AI) di negara dengan akses itu diberikan melalui perkomputeran awan yang akan diselaras Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Bagi kita dua minggu semua universiti akan terima, siapa yang akan koordinasi ialah Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

“Saya bagi masa dua minggu, siap (kaedah perolehi akses) untuk semua badan penyelidikan dan beberapa kementerian terbabit, akan disampaikan kepada semua universiti,” katanya pada Sesi Temu Anwar yang diadakan bersempena program Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI NEXUS 2024) di Pusat Dagangan Putra (WTC), di sini hari ini.

Turut serta dalam program berkenaan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, dan pengacara Hawa Rizwana sebagai moderator.

Pada sesi sama, Anwar turut ditanya sekiranya kerajaan akan memberikan insentif kepada mahasiswa yang melanjutkan pelajaran dalam bidang AI.

“Untuk pelajar yang ambil bidang AI ini, kita sediakan kemudahan dan latihan terbaik. Elaun sedia ada dikekalkan dan melihat kepada prestasi semasa mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ekosistem AI di negara ini perlu dibina dan diperkukuh dengan semua pihak perlu mempersiapkan diri untuk menerima perubahan berasaskan kepada keperluan mendesak terhadap teknologi itu.

Anwar turut menekankan tiga teras dalam ekosistem AI negara iaitu Governance AI untuk memastikan ekosistem inovasi AI yang sistematik, Pemangkin AI melalui Malaysia Konsortium Kecerdasan Buatan untuk mewujudkan pelarasan dalam bidang pendidikan, pembangunan dan aplikasi AI.

Mengenai kebimbangan terhadap pengaplikasian AI dalam kehidupan seharian, Anwar berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memberi pendidikan dengan menanam nilai dalam diri individu masing-masing.

Terdahulu, Perdana Menteri menyempurnakan peluncuran Fakulti Kecerdasan Buatan (Faculty of Artificial Intelligence FAI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga fakulti pertama dengan pengkhususan itu di negara ini.

Show More

Related Articles

Back to top button