Berita Semasa

RSN Selangor 2035: 7 hala tuju baharu dirangka

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor mengumumkan visi baharu yang dirangka melalui tujuh hala tuju pembangunan negeri dengan misi untuk memastikan keseimbangan dalam pembangunan yang mampan dan kondusif.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan tersebut merupakan pengubahan ke atas Rancangan Struktur negeri Selangor 2035 yang membawa perubahan dasar dan strategi mengikut perkembangan pembangunan semasa dari segi ekonomi, sosial dan fizikal.

“Draf ini merupakan satu penilaian semula terhadap Rancangan Struktur negeri Selangor yang telah diwartakan pada tahun 2017,” katanya dalam ucapan perasmian.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Struktur negeri Selangor 2035 (Pengubahan) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Katanya, hasil Laporan Pemantauan dan Penilaian Outcome (LPPO) Rancangan Struktur negeri Selangor 2035 pada tahun 2022 telah dikenal pasti beberapa dasar yang memerlukan perubahan.

Amirudin berkata, draf itu mempunyai visi untuk menjadikan Selangor sebuah negeri yang maju dan sejahtera.

”Matlamat pembangunan negeri Selangor adalah untuk menjadi negeri produktif, progresif dan pintar, iaitu tiga teras utama yang membentuk 17 hala tuju dan 73 dasar serta 522 inisiatif pelaksanaan untuk memacu pembangunan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, majlis tersebut dihadiri oleh pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pemain industri, ahli politik dan pertubuhan bukan jerajaan (NGO) serta wakil penduduk negeri Selangor.

Show More

Related Articles

Back to top button