Sukan

Liga Super: Penaja utama tarik diri, KDA FC guna jersi pra musim

KUALA LUMPUR – Pasukan Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) terpaksa memakai kit jersi pra musim ini sehingga penaja utama berjaya dimuktamadkan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin berkata, pasukan itu akan memakai jersi itu buat sementara bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga perlawanan pertama Liga Super.

“AL Sports Sdn. Bhd. yang merupakan penaja rasmi kit tidak akan mengeluarkan kit jersi perlawanan Liga Super KDA FC musim ini sehingga penaja utama kelab disahkan, ini berdasarkan muafakat bersama antara KDA FC dan AL Sports Sdn. Bhd. dengan mengambil kira kos efektif dan pemasaran AL Sports Sdn. Bhd. dalam situasi menang-menang,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, isu itu timbul selepas penaja utama yang telah memberikan persetujuan secara lisan menarik diri.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya dalam usaha mencari penaja baharu.

“Di peringkat awal pada bulan Februari, KDA FC telah secara lisan menerima tawaran tajaan sebagai penaja utama kelab, namun langit tidak selalu cerah, berlaku insiden yang tidak diduga menyebabkan syarikat tersebut menghadapi masalah besar sehingga perniagaan syarikat tersebut merosot yang menyebabkan pihak kelab terpaksa menolak tawaran tajaan di saat akhir.

“Oleh sebab itu, proses pencarian penaja utama diteruskan yang mana ketika ini masih terbuka kepada mana-mana syarikat berminat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button