Berita Semasa

Kesemua kru udara, helikopter TLDM yang terhempas di Lumut berada dalam keadaan baik

KUALA LUMPUR – Kesemua kru udara pesawat helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas pada 23 April lalu di Lumut, Perak disahkan mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat.

Perkata itu disahkan menerusi laporan awal oleh Lembaga Siasatan yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden helikopter TLDM yang terhempas itu.

Menurut TLDM dalam satu kenyataan,
tahap kelayakan penerbangan kru
udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

“Kedua-dua pesawat disahkan berada dalam keadaan airworthy semasa hari kejadian.

“Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak Original Equipment Manufacturer (OEM),” katanya.

Dalam pada itu katanya, keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan.

“Pesawat HOM AW139 mempunyai black box manakala pesawat Fennec yang
dikeluarkan pada tahun 2003 tidak dilengkapi dengan peralatan tersebut.

“Data yang telah dianalisis daripada Multi Purpose Flight Data Recorder
(black box) pesawat HOM AW139 telah diterima (3 Mei) daripada pihak OEM
untuk penilaian lanjut oleh Lembaga Siasatan,” katanya.

Katanya, Lembaga Siasatan yang ditubuhkan itu dianggotai oleh seramai sembilan pegawai TLDM yang berkepakaran penerbangan dan kejuruteraan udara.

“Lembaga Siasatan ini turut mendapat
bantuan daripada Markas Tentera Udara Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan doktor perubatan ATM.

“Kerjasama, kepakaran dan pandangan dari pihak OEM iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter turut dirujuk bagi melengkapkan siasatan termasuk analisis penuh rakaman Multi Purpose Flight Data Recorder (black box) pesawat HOM,” ujarnya.

Sementara itu katanya, Lembaga Siasatan sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang telah menyumbang kepada insiden tersebut.

Katanya, antara perkara yang diteliti merangkumi aspek analisis semula profil penerbangan pada hari kejadian dengan mensimulasikan profil tersebut menggunakan simulator penerbangan dan juga pesawat sebenar.

Selain itu, bantuan dan pandangan daripada pihak Airbus Helicopter juga diambil kira sekiranya terdapat data-data pada peralatan pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan.

“Lembaga Siasatan akan terus mengenal pasti aspek-aspek berkaitan yang perlu diteliti dengan lebih mendalam dan menyediakan Laporan Akhir secara menyeluruh dan terperinci.

“TLDM memberi jaminan bahawa siasatan ini dilaksanakan dengan telus dan komprehensif bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Lembaga Siasatan kini sedang berusaha untuk menyiapkan laporan akhir, yang dijangka siap pada 29 Mei 2024,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button