Berita SemasaUncategorized

Pokok tumbang : Rapid Rail tutup empat stesen

KUALA LUMPUR – Empat stesen ditutup bagi kerja-kerja pembersihan susulan kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, petang semalam yang menjejaskan perkhidmatan tren itu.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan stesen yang terlibat adalah Stesen Monorel Bukit Nanas, Stesen Monorel Raja Chulan, Stesen Monorel Bukit Bintang dan Stesen Monorel Imbi.

Sehubungan itu, Rapid Rail akan menyediakan perkhidmatan alternatif bagi memastikan kelancaran penumpang bermula jam 6 pagi ini.

“Empat stesen monorel ditutup kepada orang ramai disebabkan keperluan penutupan bekalan kuasa di landasan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan baik pulih,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail juga menyarankan penumpang yang terkesan akibat kerja pembaikan itu menggunakan perkhidmatan tren lain sebagai alternatif.

Dalam pada itu, kerja-kerja pembersihan dan baik pulih sedang giat dijalankan oleh Rapid Rail dengan bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Pihak operasi dan jurutera struktur juga sedang menjalankan pemeriksaan terperinci untuk memastikan pengoperasian penuh dapat dijalankan mengikut standard keselamatan dan piawaian yang telah ditetapkan.

“Sebarang kemas kini akan dimaklumkan secara berkala menerusi saluran media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail turut memohon maaf atas gangguan luar jangka itu dan akan memastikan pengoperasian penuh dapat dijalankan semula secepat mungkin.

Insiden pada kira-kira jam 2 petang itu menyaksikan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel akibat hujan lebat serta angin kuat di Jalan Sultan Ismail.

Show More

Related Articles

Back to top button