Uncategorized

Sidang Belia Wilayah Persekutuan medan belia kemuka idea

KUALA LUMPUR – Sidang Belia Wilayah Persekutuan bakal mengguna pakai pendekatan ‘ala Parlimen’ untuk membuka peluang kepada wakil belia mengemukakan pandangan, idea dan kritikan terhadap dasar-dasar di dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, platform perbahasan yang berkonsep terbuka dan inklusif itu akan melibatkan 65 orang wakil yang dipilih dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Katanya, program yang julung kali diadakan di tiga negeri itu akan menampilkan lima peserta yang mewakili setiap Parlimen iaitu 11 dari Kuala Lumpur dan masing-masing 1 dari Putrajaya dan Labuan.

“Kita dalam pelaksanaan dasar-dasar sedia ada kita mahu juga mendengar pandangan daripada belia, cadangan, input dan juga kritikan yang membina untuk kita menambah baik pelaksanaan.

“Ini adalah platform yang akan kita buat secara formal supaya kita dapat laksanakan tuntutan-tuntutan mereka yang mahu suara mereka didengari,” katanya pada Majlis Pra-Peluncuran Sidang Belia Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Noridah Abdul Rahim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh: Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadhlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail.

Dr. Zaliha berkata, dari segi pelaksanaan, pihaknya sedia menerima pandangan dari semua pihak supaya perbahasan dan persidangan yang diadakan menjadi pembekal maklum balas kepada pemimpin.

Katanya, pihaknya juga terbuka untuk menerima penyertaan pemimpin belia dari parti politik pembangkang.

“Kita perlu ada wakil dari pelbagai latar belakang kerana tidak semestinya mereka menjadi pemimpin politik tetapi pelbagai sektor dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, SBWP menerapkan perbahasan dalam lima kluster utama iaitu Ekonomi, Sosial,Teknologi, Perundangan dan Dasar serta Alam Sekitar dan Kelestarian Alam.

“Permohonan dibuka kepada belia bermula hari ini (7 Mei) sehingga 17 Mei 2024. Permohonan boleh dibuat melalui laman web http:sidangbeliawp.my/

“Peserta yang bermastautin di tiga Wilayah Persekutuan berusia 18 hingga 35 tahun layak memohon dan akan disenarai pendek oleh jawatankuasa pemilihan peserta,” katanya yang juga Penaung SBWP.

 

Show More

Related Articles

Back to top button