Berita Semasa

Kertas cadangan undang-undang buli siber sedang disiapkan

KUALA LUMPUR – Universiti Multimedia (MMU) bersama beberapa badan lagi sedang merangka kertas cadangan bagi mewujudkan undang-undang mengawal selia buli siber.

Menurut Dr Bahma Sivasubramaniam dari Fakulti Pengurusan, MMU, apabila disiapkan kelak, kertas cadangan yang disediakan secara bersama tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Komunikasi sebelum dirangka menjadi rang undang-undang (RUU) dan kemudiannya dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan.

“Buli siber merupakan isu yang serius, dan memerlukan perhatian segera.

“Apa yang kita buat termasuk dari segi mengenal pasti perlakuan yang dikategorikan sebagai buli siber, dan mencadangkan jenis hukuman yang sesuai apabila kesalahan disabitkan,” kata Dr Bharma ketika ditemui pada Persidangan Kawalselia Antarabangsa 2024, di sini hari ini.

Tambahnya, selain MMU, turut terlibat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kumpulan peguam dan beberapa pemegang taruh yang lain.

“Kita sedang melihat kepada beberapa model yang digunakan di negara lain, antaranya Australia dan New Zealand.

“Negara tersebut mempunyai RUU tersendiri bagi mengawal selia buli siber, dan berdasarkan laporan, setiap kes tersebut berjaya ditangani dengan segera dan berkesan.

“Kita akan menggunakan pengalaman mereka dan akan menyesuaikannya dengan situasi dalam Malaysia bagi merangka cadangan tersebut,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Public Health Malaysia (PHM) dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, menjelaskan implikasi buli siber boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung, marah serta berisiko menghadapi tekanan mental sehingga berpotensi membunuh diri sendiri.

“Apa-apa yang dimuat naik di Internet akan kekal selamanya (di internet), pembulian siber boleh merosakkan nama dan menjatuhkan maruah mangsa selamanya walaupun perkongsian tersebut telah diturunkan.

“Antara bentuk tindakan pembuli siber adalah memuat naik komen, menghantar mesej, gambar atau video menjatuhkan maruah orang lain serta menghantar mesej bersifat ancaman kepada seseorang,” kata PHM dalam hantaran tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button