Uncategorized

PM saran ketua pengarah, ketua jabatan berbakti kepada kampung sendiri

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan ketua pengarah dan ketua jabatan memilih ‘kampung angkat’ masing-masing untuk dibantu sekaligus boleh dijadikan model kampung yang baik.

Beliau berkata, sebagai individu yang mempunyai jawatan dan kedudukan, kaedah tatakelola yang ‘tidak begitu formal’ itu dilihat mampu membawa kesan perubahan dalam pembangunan dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Ketua Pengarah, Ketua Jabatan pilih kampung siap-siap, jangan tunggu sampai dua, tiga, empat bulan.

“Dalam kesibukan kita, kita kenal pasti kampung, kalau sempat balik, balik lah. Lantik seorang yang boleh selaraskan keperluan, kita bantu mereka (rakyat),” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan Seri Endon (Puspanita) di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, ketua pengarah dan jabatan juga harus bijak dalam pelaksanaan usaha itu supaya setiap tindakan yang dilakukan tidak mencetuskan rasa janggal kepada orang ramai.

“Jangan pulang ke kampung sebagai datuk bandar, nanti orang menyampah. Masuk kampung sebagai orang lama, orang kampung atau sahabat.

“Orang tahu dia ada jawatan. Jadi apa dia cakap, tanya dan selaras pasti akan berkesan, supaya kampung itu akan dijadikan satu model,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pendekatan tersebut walaupun tidak pernah dilaksanakan sebelum ini tetapi diyakini dapat membantu penduduk kampung menaik taraf dan menyelesaikan masalah.

“Kita selaraskan kegiatan, kita bantu mereka. Bukan maksud saya kita turun tiap-tiap minggu.

“Kita balik macam balik kampung, tapi kita ada satu sesi di mana kita panggil mereka, buat macam mesyuarat khas. Satu yang formal dan selainnya tidak formal,” katanya.

Anwar berkata, sekiranya semua ketua jabatan dan ketua pengarah dapat memulakan usaha itu, ia akan dapat membantu usaha kerajaan menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button