Berita Semasa

KPKT umum bina PPR Bestari Jaya, selesai kemelut perumahan 5 ladang di Selangor

KUALA SELANGOR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan kerajaan telah bersetuju dengan cadangan pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bestari Jaya bagi menoktahkan kemelut perumahan dihadapi 245 keluarga peneroka estet getah di lima ladang di daerah ini sejak 1998.

Kor Ming berkata, projek PPR ini telah mendapat kerjasama dengan pihak Berjaya Corporation Berhad melalui sumbangan tanah seluas 20 ekar di Lot 25, Ladang Sungai Tinggi, Mukim Bestari Jaya, kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Jelas Kor Ming, projek yang bakal menelan belanja sebanyak RM75 juta itu dijangka akan siap dalam tempoh dua tahun lagi.

“PR1MA Corporation Malaysia dilantik sebagai agensi pelaksana projek itu yang membabitkan pembinaan rumah teres berkeluasan 1,200 kaki persegi dengan dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air.

“Isu pemilikan rumah melibatkan lima estet iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak ini telah berlarutan hampir 26 tahun sejak 1998.

“Hasil perbincangan Kerajaan Madani dengan kerajaan Selangor, kita sepakat menjayakan pembangunan perumahan bagi pekerja ladang terlibat yang dijangka memberi manfaat kepada 1,250 penduduk secara keseluruhan,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, wakil Menteri Besar Selangor merangkap EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Papparaidu Veraman dan Timbalan Ketua Setiausaha Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti, Suhaimi Ali Ahmad.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, PPR Bestari Jaya itu akan dinamakan sebagai PPR Harmoni Madani setelah siap kelak sebagai cerminan semangat perpaduan antara kaum dan keharmonian di negara ini.

Show More

Related Articles

Back to top button