Berita Semasa

KPDN akan pastikan hak pengguna e-dagang terus dilindungi

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melihat kembali perundangan sedia ada bagi memastikan hak pengguna e-dagang terus dilindungi.

Bercakap semasa Sesi Perbincangan Panel di International Regulatory Conference (IRC 2024) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pengarah Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan, KPDN, Muhamad Hanif Asa’ari, sejak 2021 perkhidmatan e-dagang telah mencatatkan peningkatan yang mendadak sejak pandemik COVID-19 melanda dunia.

“Sebelum zaman pandemik (COVID-19), perkhidmatan e-dagang hanya menyumbang antara tiga ke empat peratus kepada angka KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar)

“Namun, sejak pandemik sehingga kini, kita melihat e-dagang meningkat dengan pesat sehingga menyumbang kepada kira-kira 13 peratus (kepada KDNK),” kata Muhamad Hanif ketika muncul sebagai ahli panel dalam perbincangan bertemakan Memperkasakan Pasaran Digital di ASEAN: Mengemudi Era Baharu e-Dagang, di sini hari ini.

Selain Muhamad Hanif, ahli panel lain termasuk Pegawai Pihak Berkuasa Penyiaran dan Maklumat Elektronik Vietnam, Nguyen Thi Thuy Duong; Pengarah Kanan, Bahagian Pemberian Perkhidmatan Sejagat MCMC, Stella Jeevamani Navaratnam, dan Ketua Kawalselia, UMobile, Eric Liew Sze Yarn, dengan Ketua Pegawai Dasar Strategik, MCMC, Mohamed Hafizin Che Mohamed Tajudin sebagai moderator.

Perbincangan tersebut merupakan sebahagian daripada Persidangan Kawalselia Antarabangsa yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang berlangsung hingga esok, di sini.

Tambahnya, turut selari dengan peningkatan sumbangan kepada KDNK adalah aduan pengguna berhubung transaksi e-dagang.

“Sejak 2021, kami dapati aduan pengguna semakin meningkat, dan melebihi aduan lain.

“KPDN memantau situasi ini dengan penuh teliti bagi melihat kembali jurang dalam perundangan sedia ada.

“Sebagai contoh, peraturan perlindungan pengguna dan transaksi atas talian yang digunapakai sekarang sudah berusia 12 tahun, jadi kita akan perbaiki segala kekangan dan kekurangan bagi memantapkan lagi kawalselia supaya selari dengan perkembangan dunia e-dagang yang berkembang pesat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button