Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Bapa rogol anak hingga lahir 2 anak ditahan

PORT DICKSON – Seorang bapa sanggup melakukan sumbang mahram dengan merogol anak perempuannya sehingga melahirkan dua orang anak sejak lapan tahun yang lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, perlakuan suspek berusia 40-an itu terbongkar selepas mangsa yang kini berusia 20 tahun membuat laporan polis pada Rabu lalu.

“Mangsa memaklumkan telah dirogol oleh bapa kandungnya sejak berumur 12 tahun malah kejadian ini pernah diceritakan kepada ibunya.

“Bagaimanapun ia tidak diendahkan walaupun mangsa telah melahirkan dua orang anak,” katanya dalam satu kenyataan media pada sabtu lalu.

Kenyataan tersebut melaporkan, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sejak tahun 2016 sehinggalah kejadian terbaharu pada tahun ini.

Aidi Syam berkata, kesemua kejadian rogol itu berlaku di dalam bilik iaitu di rumah mereka di Kampung Chuah, Port Dickson.

“Hasil perbuatan sumbang mahram itu mangsa telah melahirkan dua orang anak, seorang meninggal dunia ketika dilahirkan dan seorang lagi kini berusia tiga tahun.

“Tangkapan telah dibuat ke atas suspek lelaki dan isterinya yang berusia 40-an di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson pada hari Jumaat,” katanya lagi.

Menurut Aidi Syam, hasil semakan rekod lampau terhadap suspek lelaki yang bekerja kampung dan suspek wanita itu masing-masing mempunyai rekod berkaitan kes dadah.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Seremban dan ditahan reman selama lima hari bermula Sabtu hingga 8 Mei depan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan sebatan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button