Berita Semasa

SOP penerbangan diteliti setiap kali siasatan

HULU SELANGOR – Siasatan berhubung insiden pesawat terhempas di Felda Gunung Besout 2 Tambahan, Tanjung Malim hari ini akan dilakukan secara terperinci mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, siasatan membabitkan pesawat latihan itu sedang dijalankan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Tambahnya, sekiranya wujud sebarang kelemahan dalam prosedur penerbangan, perkara itu akan diteliti dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Siasatan BSKU telah pun digerakkan. Mereka telah pergi ke tempat kejadian untuk mendapatkan bukti dan terus membuka kertas siasatan.

“Setiap kali ada insiden, memang laporan ataupun siasatan terperinci akan diadakan. Jadi SOP memang ketat dan apa-apa kelemahan akan dilihat dari masa ke semasa.

“Jadi setiap kali ada laporan, ada siasatan, akan lihat apa yang perlu kita perbaiki. Jadi memang akan ada laporan terperinci daripada pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara”, katanya pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri SMH Rail di sini.

Dalam kejadian pagi tadi, sebuah pesawat Cessna 172 milik Layang-Layang Flying Academy terhempas menyebabkan dua kru cedera.

Kejadian pada pukul 9. 30 pagi itu melibat seorang jurulatih penerbangan iaitu Kapten Shahrul Imran, 26, dan pelatih, Le Ho Jia, 20.

Show More

Related Articles

Back to top button