Politik

Rizab simpanan Selangor meningkat jauh dari zaman Azmin

SHAH ALAM – Selangor mencatatkan peningkatan ketara jumlah rizab simpanan meskipun kerajaan negeri memperuntukkan jumlah yang besar perbelanjaan untuk kebajikan rakyat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peningkatan ketara itu boleh dilihat setiap tahun sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran dari Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Azmin Ali.

Amirudin berkata, kedudukan rizab simpanan negeri itu jelas menyangkal kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang yang mendakwa kerajaan negeri tidak berbelanja untuk rakyat.

“Dulu masa Pilihan Raya Negeri cakap zaman dia (Azmin) rizab rendah sebab dia belanja banyak. Marah dekat saya sebab kononnya rizab tinggi tapi tak belanja. Sekarang nak claim kata zaman dia rizab tinggi.

“Min nak yang mana satu ni Min (Azmin)? Kenapa asyik tukar-tukar ayat sampai rakyat pun keliru, celaru dan kabur.

“Realitinya, Azmin Ali mengurangkan rizab simpanan negeri, tapi perbelanjaan inisiatif kebajikan untuk rakyat tidak juga bertambah. Ke mana?,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Menurut Amirudin, rizab simpanan semasa Azmin mengambil alih pentadbiran Selangor pada 2015 menurun dari RM3.26 bilion kepada RM2.14 bilion pada 2018.

Jumlah itu kemudian meningkat pada kedudukan tertinggi selepas beliau mengambil alih pentadbiran iaitu RM3.4 bilion pada tahun ini.

“Perbelanjaan inisiatif kebajikan rakyat juga jauh berbeza dengan RM2.37 bilion berbanding RM1.3 bilion pada zaman Azmin,” katanya.

Peningkatan itu katanya tetap berlaku walaupun kerajaan negeri memperuntukkan 3 pakej rangsangan ekonomi semasa penularan Covid-19 dan pembelian vaksin.

Show More

Related Articles

Back to top button