Berita SemasaPM X

PM arah pembelian pam air untuk Kelantan disegerakan

KOTA BHARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya pembelian 20 unit pam air membabitkan nilai RM20 juta untuk kegunaan di Kelantan disegerakan.

Kata Anwar, Kelantan kini berdepan masalah musim kemarau berpanjangan dan ia memerlukan tindakan segera.

Katanya, paip di sungai Kelantan yang disediakan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) tidak mencukupi memandangkan paras air yang semakin menurun akibat kemarau berpanjangan.

“Menteri Besar (Datuk Mohd Nassuruddin Daud) mencadangkan supaya Kerajaan Pusat menyediakan belanja untuk membeli paip baharu supaya ia boleh menyedut air untuk kegunaan rakyat dan pertanian.

“Justeru, saya memberi arahan supaya diberikan peruntukan segera RM20 juta kepada Kelantan untuk pembelian pam air,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri di perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, di sini malam tadi.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Perdana Menteri berkata, beliau turut bersetuju dengan Menteri Besar Kelantan untuk mengenepikan perbezaan politik.

“Tidak benar sama sekali kita mengabaikan mana-mana negeri kerana tahun lalu saya berikan jumlah peruntukan yang banyak untuk projek tebatan banjir, bekalan air dan sebagainya.

“Saya juga memberi perhatian dalam pendidikan Islam di Kelantan dan kita akan membina maahad tahfiz yang baru. Saya akan lakukan sebaiknya supaya Kelantan dapat membangunbersama negeri lain.

“Pergeseran politik yang berterusan tidak akan menguntungkan rakyat. Saya akan pastikan semua rakyat termasuk Kelantan dapat manfaat daripada apa yang kita lakukan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button