Berita Semasa

Mufti Perak seru henti boikot KK Mart

IPOH – Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, menyeru umat Islam di Malaysia untuk menghentikan tindakan memboikot kedai serbaneka KK Mart.

Wan Zahidi berkata, tindakan memboikot tersebut tidak sejajar dengan prinsip keadilan Islam yang mengutamakan keadilan sejagat untuk semua kaum tanpa mengira tentang isu disukai atau tidak.

“Satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya atau alqasdul jinael tetapi elemen itu tidak boleh dibuktikan melalui pembuktian langsung sebaliknya dengan pengakuan atau melalui kaedah pembuktian qarainul ahwal iaitu bukti keadaan,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Perak hari ini.

Katanya, beliau menjelaskan dalam konteks hukum Islam, untuk membuktikan tindakan jenayah seperti tuduhan menghina agama, melalui faktor niat dan keinginan (alqasdul jinael) perlu dapat dibuktikan melalui pengakuan atau kaedah lain yang sah, seperti kaedah pembuktian qarainul ahwal (bukti melalui keadaan).

Jelasnya, beliau merujuk kepada penjelasan dan permohonan maaf dari pihak pengurusan KK Mart serta penjelasan yang diberikan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang menunjukkan bahawa tuduhan tersebut tidak dapat disahkan berdasarkan kaedah hukum Islam.

“Daripada penjelasan yang dibuat oleh pihak pengurusan KK Mart dan permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden yang berlaku serta penjelasan yang dibuat kepada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), ternyata kewujudan rukun alqasdul jinael ini tidak dapat dibuktikan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Zahidi percaya isu tersebut telah menyemarakkan sentimen kebencian dan kemarahan yang tidak sesuai dengan ajaran keadilan Islam.

“Apabila isu ini disensasikan dengan menyemarakkan sentimen kebencian dan kemarahan, maka cara menanganinya telah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam sejagat,” katanya.

Sementara itu, beliau menekankan bahawa tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum tidak sejajar dengan ajaran Rasulullah SAW, sebagai contoh beliau mengutip kisah di mana Rasulullah meminta untuk menghentikan sekatan bahan makanan kepada kaum Quraisy yang bermusuhan terhadap Islam.

“Saya berkeyakinan kenyataan ini adalah amanah yang wajib disampaikan sebagaimana yang diperintahkan dalam surah An-Nisaa ayat 58,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button