Berita Semasa

KPDN serbu kedai serbaneka jual produk diskriminasi minyak sawit

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam merampas produk
berlabel ‘Tiada Minyak Sawit’ atau ‘No Palm Oil’ (NPO) dalam serbuan di sebuah kedai serbaneka di Presint 3, di sini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, serbuan pada pukul 11.45 pagi itu dibuat berdasarkan aduan awam.

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan produk asikrim pelbagai perisa yang mempunyai penyataan dipercayai bertujuan diskriminasi.

“Kesemua produk aiskrim terbabit disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan berjumlah RM897.60.

“Kes akan disiasat bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun.

Armizan berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 15 Mac 2022 hingga 2 Mei 2024 bawah perundangan itu, sebanyak 5,057 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara terhadap premis pelbagai peringkat rantaian pengedaran. Daripada jumlah itu, katanya, KPDN mendapati terdapat empat kes.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual dan pihak berkaitan yang menjual produk diimport dari luar negara yang tidak mematuhi perundangan berkaitan,” katanya.

Armizan berkata, jenis kesalahan meliputi pernyataan berbentuk ungkapan atau petunjuk yang mungkin mendiskriminasi atau memboikot apa-apa keluaran atau barangan yang melibatkan komoditi utama negara, iaitu minyak kelapa sawit.

Show More

Related Articles

Back to top button