Berita Semasa

Cuepacs sokong penjawat awam tidak berprestasi dikecualikan kenaikan gaji

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong gesaan Perdana Menteri supaya penjawat awam yang tidak berprestasi disekat daripada menerima kenaikan gaji 13 peratus yang diumumkan 1 Mei lalu.

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, langkah itu wajar diberikan perhatian demi untuk memastikan perkhidmatan di sektor awam kekal berintegriti.

“Mereka yang bermasalah tidak perlu ada dalam penjawat awam…walaupun kumpulan ini tak ramai, tak sampai 100 hingga 200 orang pun daripada 1.6 juta penjawat awam, kita kena pastikan mereka yang ada masalah tatatertib perlu diambil tindakan.

“Kita kena ada penjawat awam berintegriti yang jaga tatakelola,” katanya memetik laporan FMT.

Abdul Rahman berkata demikian ketika diminta
mengulas pengumuman Perdana Menteri kelmarin bahawa penjawat awam dengan prestasi tidak baik tidak layak dinaikkan gaji mulai Disember ini.

Rahman berkata, kakitangan “bermasalah” akan dikenal pasti melalui laporan prestasi tahunan yang disediakan ketua jabatan.

“Dari situ, kita akan tahu siapa yang ada masalah tatatertib dan perlu diambil tindakan.”

Menurutnya, budaya kerja penjawat awam sekarang jauh berbeza berbanding dahulu yang sering dikaitkan dengan budaya “minum pagi” serta “tutup kedai awal”.

Malah, katanya, kebanyakan kumpulan sokongan di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan perlu bekerja di luar waktu pejabat untuk menyiapkan laporan diminta oleh ketua jabatan.

“Bila saya buat tinjauan di pejabat-pejabat kerajaan, kebanyakan mereka sudah ada pantri sendiri, minum pagi pun di dalam pejabat saja. Mereka tak turun minum berjam-jam dah macam dulu-dulu.

“Sistem penjawat awam kita dah makin efisien, kakitangan banyak buat kerja di luar waktu pejabat.

“Walaupun tiada elaun telefon, mereka hantar maklumat dan data di luar waktu kerja. Berbeza dulu, kita terpaksa hantar surat yang ambil masa tiga, empat hari baru sampai.”

Show More

Related Articles

Back to top button