Berita Semasa

Anggota bomba parah kemalangan motosikal di Durian Tunggal

ALOR GAJAH – Seorang anggota bomba yang baharu dua minggu menimang cahaya mata parah selepas dibabit dalam kemalangan dengan sebuah Toyota Hilux di Jalan Padang Kerbau, Durian Tunggal, pukul .30 pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Izzat Muhaimin Araham Shah, 26, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dari Taman Scientex.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika kenderaan pikap dari arah Durian Tunggal membelok ke kanan Jalan Haji Sallehudin dan dilanggar motosikal di bahagian sisi kiri.

“Akibat kemalangan, penunggang motosikal mengalami patah tangan kanan dan kecederaan dalaman dan dibawa ke Hospital Melaka dan kini dirawat di zon merah, Hospital Melaka manakala pemandu pikap berusia 43 tahun tidak cedera,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penguasa Kanan Bomba I, R Saiful Iswandy R Hassan berkata, laporan awal daripada doktor memaklumkan mangsa mengalami pendarahan dalaman pada paru-paru dan dalam kepala selain patah pada paha.

“Dalam pertemuan dengan doktor tadi, saya dimaklumkan keadaan mangsa masih kritikal dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Beliau berkata, mangsa bertugas di BBP Cheng sejak empat tahun lalu dan baharu sahaja menimang cahaya mata kedua, dua minggu lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat.

Show More

Related Articles

Back to top button