Berita Semasa

Halang laluan, 12 premis disita DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 12 premis di Pasar Borong Kuala Lumpur dan memindahkan barangan terbabit atas kesalahan menghalang tempat laluan awam, semalam.

DBKL berkata, pihaknya menerusi Jabatan Penguatkuasaan, Pejabat Cawangan Batu dan Pejabat Cawangan Wangsa Maju mengenakan tindakan sedemikian selepas mengesan pemilik premis tersebut melakukan kesalahan berkenaan di sekitar Jalan 2/3A dan Jalan 6/3A Pusat Bandar Utara, Selayang.

“Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di sekitar luar kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur dibuat membabitkan pemeriksaan terhadap premis perniagaan borong sayuran, buah-buahan dan barangan am yang menghalang tempat awam, selain aktiviti penjajaan dilakukan warga asing terutama dalam kalangan etnik Rohingya Myanmar.

Sejumlah 12 premis dikenakan tindakan sita dan pindah barangan kerana kesalahan menghalang tempat awam mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1971,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, barangan jualan dua penjaja warga asing turut disita kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

Kata DBKL lagi, semua barangan disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL Taman Miharja Cheras.

“DBKL akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di lokasi hotspot dari masa ke semasa,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button