Berita Semasa

Pembinaan semula Stadium Shah Alam dijangka siap 2026

SHAH ALAM – Proses pembinaan semula Stadium Shah Alam dijangka siap pada hujung 2026 seperti yang dijadualkan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bangunan stadium lama akan dirobohkan sedikit masa lagi selain penghadang dipasang sekeliling kawasan bagi mengelak pencerobohan pihak luar.

“Proses berjalan mengikut landasan. Sekarang kita akan memenuhi keperluan yang diwajibkan MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) sebelum meroboh sebab tak mahu ganggu kejiranan sekeliling.

“Kita percaya MRCB (pemaju) akan keluarkan tender perobohan dan putuskan dalam masa terdekat. Minggu lepas saya dimaklumkan kita boleh lengkapkan stadium hujung 2026 dan boleh digunakan selepas itu,” kata Amirudin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri agensi di bawah kepimpinan Duli Yang Teramat Mulia Raja (DYTM) Muda Selangor Tengku Amir Shah, di sini semalam.

Pada Februari, pengurus besar unit projek khas Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.

Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz berkata, fasa pertama membabitkan proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam dijangka selesai Mac tahun depan, seterusnya pembangunan stadium lengkap dengan ruang perniagaan serta plaza parkir dijangka siap 2026

Fasa kedua diteruskan bermula Januari 2027 membabitkan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi manakala fasa terakhir melibatkan pembinaan terminal bersepadu dan hotel yang dijangka bermula Januari 2028 hingga Disember 2029.

Show More

Related Articles

Back to top button