Jenayah & Mahkamah

Chegubard tidak mengaku salah tuduhan terbitkan kenyataan menghasut

JOHOR BAHRU – Aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerbitkan kenyataan menghasut berhubung projek kasino di Forest City menerusi media sosial.

Badrul Hisham, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Rasidah Roslee.

Mengikut pertuduhan, Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU itu didakwa membuat penerbitan menghasut menerusi akaun Facebook atas nama CheguBard di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada pukul 6.30 petang, 26 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan barisan Timbalan Pendakwa Raya diketuai Datuk Masri Mohd Daud, Abdul Ghafar Ab Latif, Abdul Malik Ayob dan Nadia Mohd Izhar, manakala Chegu Bard diwakili Muhammad Rafique Rashid Ali.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, turut hadir sebagai peguam pemerhati dan memberi sokongan terhadap Chegubard.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan RM20,000 kepada Chegubard bagi pertuduhan berkenaan dengan seorang penjamin.

“Selain itu, pendakwaan memohon perintah larangan supaya tertuduh tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum di mana-mana termasuk platform media sosial sehingga kes selesai.

“Oleh itu, perintah larangan adalah perlu supaya tertuduh tidak mengeluarkan komen atau sebarang kenyataan umum bagi memastikan perjalanan kes tidak diganggu-gugat,” katanya.

Namun, peguam tertuduh, Muhammad Rafique, menyifatkan cadangan jaminan itu sebagai terlalu tinggi selepas mengambil kira jumlah denda dikenakan jika disabit kesalahan atas pertuduhan berkenaan.

“Anak guam juga sudah dituduh atas kesalahan sama di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur dengan jaminan ditetapkan pada RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Perintah larangan yang dimohon pihak pembelaan pula tidak khusus dan bersifat injuksi. Perintah itu adalah tidak berperlembagaan kerana mengikut Perkara 10, rakyat Malaysia ada kebebasan untuk membincang sesuatu perkara secara terbuka mengikut undang-undang,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan itu.

Hakim turut menolak cadangan perintah larangan dimohon dengan alasan pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti atau afidavit secara bertulis bagi menunjukkan Chegubard atau pihak berkaitan akan menjejaskan keadilan perbicaraan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 24 Jun depan bagi penyerahan dokumen dan penetapan tarikh perbicaraan.

Show More

Related Articles

Back to top button