
Anwar bertemu PM Qatar, nyatakan komitmen Malaysia beri bantuan rawatan kepada rakyat Palestin
RIYADH – Malaysia menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Qatar dan negara-negara lain di Timur Tengah untuk memberikan bantuan dalam bentuk rawatan kepada warga Gaza yang menjadi mangsa kekejaman Israel.
Komitmen itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pertemuannya bersama Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini, hari ini.
“Selama hampir 20 minit perbincangan saya dan Sheikh Mohammed menyentuh pelbagai perkara penting, termasuk bertukar pandangan mengenai krisis kemanusiaan di Palestin.
“Malaysia juga sedia bekerjasama dengan Qatar dan negara-negara lain di rantau ini untuk memberi bantuan dalam bentuk rawatan kepada warga Gaza yang menjadi mangsa kekejaman Israel,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Menurut Anwar, beliau dan Sheikh Mohammed juga berhasrat untuk meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara, serta melonjakkan hubungan perdagangan Malaysia-Qatar.
“Perbincangan kami juga tertumpu pada potensi kerjasama baharu dalam bidang berkepentingan bagi kedua-kedua negara termasuklah kewangan Islam, ekonomi digital, keterjaminan makanan dan tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya lagi.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau turut menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak Malaysia atas peranan Qatar membantu dalam usaha membawa keluar warga Malaysia, Nurul Ain Haron dan suaminya dari Gaza pada November tahun lalu.
Pada 12 November lalu, Nurul Ain berjaya dibawa keluar dari kawasan konflik melalui Lintasan Sempadan Rafah pada jam 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |