Berita SemasaPM X

Malaysia yakin IsDB terus mainkan peranan penting tangani isu umat Islam

RIYADH – Malaysia yakin Bank Pembangunan Islam (IsDB) akan terus memainkan peranan penting dalam menangani isu ketidaksamaan dan marginalisasi, terutama dalam kalangan umat Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bank tersebut mempunyai peranan untuk menangani isu ketidakadilan, ketidaksamaan dan marginalisasi terutamanya dalam kalangan umat Islam.

“Umat Islam masih merupakan kumpulan terbesar dari segi jumlah kawasan yang dilanda kemiskinan yang diabaikan.

“Saya fikir, selain daripada usaha oleh kebanyakan kerajaan dan badan antarabangsa kita, IsDB mempunyai peranan penting untuk menangani isu ini.

“Malah, apabila kita melihat harapan untuk penyelesaian yang baik terhadap konflik di Gaza selepas berhadapan kekejaman oleh rejim Israel,” kata beliau dalam ucapan pada sambutan Jubli Emas IsDB, di sini.

Kata Anwar, IsDB perlu menggunakan peluang yang ada dalam menyelesaikan isu umat Islam.

“Jika kita tidak mengambil peluang ini, ketidaksamaan akan bertambah buruk, masalah akan timbul. Dan kita akan melihat sekali lagi, marginalisasi yang besar dalam komuniti kita,” tegas beliau.

Kata Anwar, beliau sudah menyaksikan sumbangan IsDB sepanjang 50 tahun ini, dan yakin bank tersebut akan terus maju dengan kepimpinan muda.

“Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa anda akan menjadi pemain utama untuk melangkaui fokus lazim Bank Pembangunan Islam, tetapi maju ke hadapan untuk menangani isu-isu penting mengenai teknologi baharu.

“Keperluan untuk keterangkuman dan semangat untuk membantu orang ramai, terutamanya mereka yang dipinggirkan, melalui pendidikan, latihan, peluang ekonomi, pemerkasaan ekonomi dan keusahawanan,” kata Anwar yang menambah, Malaysia menyokong usaha sedemikian untuk terus dilaksanakan.

Sementara itu, beliau turut menyertai pemimpin negara anggota dan bukan anggota lain dalam merakamkan ucapan tahniah kepada bank itu bersempena ulang tahun ke-50 memupuk pembangunan sosio-ekonomi dalam kalangan negara anggotanya.

Malaysia menyertai IsDB pada 12 Ogos 1974 dan mempunyai langganan modal sebanyak 1.55 peratus bernilai ID868.18 juta (dinar Islam) atau bersamaan dengan satu hak cabutan khas Tabung Kewangan Antarabangsa.

Selain itu, IsDB juga telah membiayai 166 projek di Malaysia yang bernilai AS$963.2 juta dengan sejumlah 160 projek (AS$945.8 juta) telah siap manakala enam lagi projek (AS$17.4 juta) sedang dilaksanakan.

Anwar berada di ibu negara Arab Saudi itu selama dua hari mulai semalam bagi mengetuai delegasi Malaysia untuk meninjau pelbagai peluang ekonomi dan menarik pelaburan baharu di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Beliau turut dijemput untuk menghadiri sambutan Jubli Emas IsDB.

Hari ini, Anwar dijadualkan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan IsDB membabitkan Kewangan Islam dan Pasaran Modal Islam.

Show More

Related Articles

Back to top button