Berita Semasa

FINAS aktifkan semula Jawatankuasa Cetak Rompak Digital

Tangani isu cetak rompak digital

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan mengaktifkan semula Jawatankuasa Cetak Rompak Digital bagi menangani isu cetak rompak digital.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, dia sudah mendapatkan bantuan maklumat lanjut daripada bahagian penguatkuasaan FINAS dalam usaha membanteras gejala berkenaan.

Sejak 2020 hingga sekarang, kata Azmir, banyak platform digital yang berada dalam pasaran termasuk aplikasi Telegram yang paling banyak menyediakan akses untuk orang ramai memuat turun keseluruhan filem.

“Ada beberapa agensi di bawah jawatankuasa berkenaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan polis.

“Dalam jawatankuasa itu juga ada juga ‘war room’ yang dikendalikan oleh FINAS yang berperanan untuk memantau aktiviti atau kandungan dimuat naik pengguna,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya menerima laporan, ia akan diserahkan kepada jawatankuasa tersebut untuk tindakan selanjutnya, yang mana MCMC selaku salah satu pelaksana akan meminta platform yang menghoskan kandungan cetak rompak tersebut supaya menurunkannya.

Pada tahun 2021 dan 2022, Jawatankuasa Cetak Rompak Digital berjaya menurunkan kandungan dimuat naik dalam media sosial secara haram.

“Tindakan ini sememangnya sudah dijalankan dan saya sudah diberi statistik jumlah penyedia filem cetak rompak dalam media sosial yang berjaya diturunkan.

“Pada 2021, ada banyak aduan diterima dan kami sudah ambil tindakan kepada 84 penyedia kandungan cetak rompak. Daripada jumlah itu, tindakan tertinggi diambil di Telegram iaitu sebanyak 63 penyedia.

“Kemudian pada 2022, ada 101 aduan dan tindakan sudah diambil. Pada tahun itu juga, Telegram mencatat angka tertinggi iaitu sebanyak 76,” katanya lagi.

Azmir kemudiannya memberitahu, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan MCMC bagi mewujudkan satu polisi baharu di mana syarikat pengendali media sosial perlu berdaftar dan diselia oleh agensi di bawah Kementerian Komunikasi.

“Saya sudah berbincang dengan MCMC dan dalam masa terdekat ini dan akan ada pengumuman satu polisi baharu yang menuntut syarikat pengendali media sosial mendaftar di bawah MCMC.

“Itu petanda baik kerana ia akan membantu kami mengambil tindakan lebih pantas. Langkah ini saya rasa satu kebaikan bersama MCMC.

“Selepas berbincang, kami akan aktifkan semula Jawatankuasa Cetak Rompak Digital.

“Kami bakal mengadakan kempen untuk memupuk kesedaran kepada khalayak berkenaan isu cetak rompak ini,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button